Peraturan sidai kain di flet

Metro Harian 04/12/2008

PUTRAJAYA: Penghuni kediaman berbilang tingkat dilarang menyidai pakaian di kawasan terbuka apabila penguatkuasaannya dilaksanakan mulai awal tahun depan.Tabiat itu yang biasa dilihat di rumah pangsa atau pangsapuri ketika ini menyebabkan imej dan pemandangan kawasan persekitarannya terjejas terutama di kalangan pelancong asing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi menguatkuasakan peraturan itu, satu garis panduan akan dikeluarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

“Pesuruhjaya Bangunan (COB) akan ditugaskan bagi menguatkuasakan perkara ini dan tindakan menyediakan tempat yang khusus dan peralatan sepatutnya disediakan, akan diambil,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara Untuk Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-61 di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Chuan, serta Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sudah mengambil inisiatif bagi mengelakkan pemandangan kurang menarik ini dilihat di kawasan rumah pangsa dengan memasang EBshield, iaitu sejenis tabir logam yang diletakkan di kawasan ampaian.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya tindakan itu tidak berkesan, pindaan undang-undang sedia ada akan dipertimbangkan.

“Kita akan pertimbangkan untuk buat pindaan, jika ini tak berkesan,” katanya.

Diterbitkan dalam: on Disember 4, 2008 at 5:16 pm  Tinggalkan Komen  

Projek terbengkalai timbulkan masalah

Sinar Harian 04/12/2008

PETALING JAYA – Penduduk di Jalan Besar Taman Medan di sini mendakwa mengalami pelbagai masalah berikutan terdapat satu projek perumahan terbengkalai yang terbiar sejak bertahun lamanya.

Antara masalah yang dihadapi penduduk kerana rumah terbengkalai itu, ia menjadi sarang pembiakan nyamuk dan menjadi tapak pembuangan sampah haram yang menjejaskan keselesaan penduduk di kawasan sekitar.

Salah seorang penduduk, Ali Asbullah, 33, mendakwa, projek perumahan itu tidak pernah cuba disiapkan sama ada oleh pemaju asal atau pemaju yang lain menyebabkan ia menjadi punca kepada beberapa masalah persekitaran.

“Nyamuk menjadi masalah utama di sini sehingga kehidupan penduduk di sini berada dalam kebimbangan dan terganggu. Kami sudah tidak tahan dengan gangguan nyamuk yang semakin menjadi-jadi sejak akhir ini terutama pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, pelbagai cara diambil bagi mengatasi masalah tersebut tetapi sehingga kini ia masih berlarutan malah bertambah teruk.

“Kami bimbangkan kesihatan anak-anak di sini kerana nyamuk merupakan punca kepada beberapa penyakit yang berbahaya,” katanya.

Di samping itu katanya, projek terbengkalai itu mencemarkan pemandangan di sesebuah kawasan kerana kawasan bangunan yang terbiar itu dipenuhi lalang dan semak-samun manakala dinding bangunan pula dipenuhi lumut.

“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kami sebagai penduduk di sini kerana ia boleh menjadi tempat pembiakan binatang berbisa seperti ular.

“Ini membimbangkan kami kerana ramai kanak-kanak yang bermain di persekitaran kawasan ini. Masalah ini sudah beberapa kali diajukan kepada pihak berkuasa tempatan namun sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi itu semalam mendapati kawasan itu dipenuhi dengan pokok dan semak-samun yang tumbuh meliar, di samping tinggalan sisa-sisa bahan binaan.

Seorang lagi penduduk di sini, Shahrul Amri, 19 berkata, keadaan persekitaran kawasan rumah terbengkalai itu yang dipenuhi semak samun menjadikan ia tempat pembiakan binatang berbisa.

“Melihat kepada keadaan sekeliling yang dipenuhi semak samun, tidak mustahil kawasan ini menjadi habitat haiwan berbisa. Keadaan ini memerlukan tindakan segera daripada pihak yang berkenaan sebelum berlaku perkara yang tidak diingini kepada penduduk terutamanya kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, projek perumahan tersebut sudah terbengkalai sejak sepuluh tahun lalu dan tiada sebarang tindakan diambil bagi menyiapkan projek tersebut.

“Justeru, saya amat berharap pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dapat membuat tinjauan ke kawasan itu dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya.

Diterbitkan dalam: on Disember 4, 2008 at 4:58 pm  Tinggalkan Komen  

Akaun 2 tak dibenar ubah suai rumah

Berita Harian 26/11/2008

SAYA merujuk kepada surat ‘Co-Yorks’, Ampang, Selangor yang disiarkan dalam ruangan ini pada 12 November berhubung pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan mengubahsuai rumah.

Untuk makluman, pengeluaran perumahan KWSP membolehkan ahli mengeluarkan simpanan dalam Akaun 2 bagi tujuan membina atau membeli rumah kediaman, mengurang atau menyelesaikan baki pinjaman perumahan dan membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan.

Dalam hubungan ini, KWSP tidak dapat meluluskan permohonan ahli berkenaan untuk menyelesaikan pinjaman perumahan beliau yang diambil secara pembiayaan semula kerana pinjaman asal untuk membeli rumah itu sudah selesai dibayar oleh ahli. Syarat pengeluaran KWSP juga tidak membenarkan pengeluaran untuk pengubahsuaian rumah.

Sebarang cadangan untuk mengeluarkan simpanan KWSP bagi tujuan yang tidak memberikan nilai tambah kepada simpanan ahli akan menjejas dan mengurangkan jumlah simpanan untuk persaraan mereka. Oleh itu, cadangan itu tidak dapat dipertimbangkan.

NIK AFFENDI JAAFAR,
Pengurus Kanan
Perhubungan Awam KWSP.

Diterbitkan dalam: on November 29, 2008 at 2:02 am  Tinggalkan Komen  

Pemaju rumah pangsa potong air sesuka hati

Berita Harian 27/11/2008

PETALING JAYA: Masalah pemaju tidak memberikan mutu perkhidmatan memuaskan sering mengganggu kehidupan mereka yang mendiami rumah pangsa, dan perkara ini turut menimbulkan masalah kepada kira-kira 1,000 penduduk di PJS1, Petaling Utama, di sini.

Naib Setiausaha Persatuan Penduduk PJS1 Petaling Utama, S Sugumaran, 40, mendakwa pemaju flat mereka, memotong bekalan air sesuka hati apabila penduduk lambat membayar atau membuat bayaran kurang daripada jumlah dikenakan tanpa diberi tahu terlebih dulu.

“Kami juga seperti dipaksa membayar caj tunggakan air sejak lima dan enam tahun lalu yang berjumlah antara RM2,000 dan RM3,000. Kenapa mereka perlu lakukannya sekarang dan bukan lima atau enam tahun lalu,” katanya ketika ditemui Berita Harian.

Katanya, pemaju juga didakwa meletak harga yang sama untuk unit rumah di tingkat bawah dan tingkat satu iaitu RM42,000 sedangkan unit di tingkat satu lebih luas.

Seorang penduduk, Saunderaju, 48, berkata dari segi perkhidmatan pula, caj penyelenggaraan dikenakan adalah RM40 sebulan, namun perkhidmatan diberikan tidak sepadan kerana masalah seperti lif rosak, longkang berbau dan kecurian kereta sering mengganggu kehidupan kawasan perumahan itu.

“Ini amat tidak menyenangkan penduduk apatah lagi keadaan lif yang bukan saja sering rosak, malah berbau kencing dan sampah juga diletakkan di tepi tangga,” katanya.

Yang Dipertua persatuan terbabit, K Segar, 46, pula berkata, di blok A, B, C dan D tidak disediakan taman permainan kanak-kanak dan penduduk difahamkan tembok akan dibina di belakang flat mereka merentasi laluan jalan pejalan kaki.

“Saya difahamkan pembinaan tembok terbabit adalah untuk mengelak masalah jenayah, namun jalan untuk membina tembok berkenaan adalah jalan penghubung untuk kanak-kanak ke sekolah dan menunggu bas dan ini menyukarkan kerana pengguna perlu membuat satu pusingan besar.

“Ada baiknya jika wang untuk pembinaan tembok digunakan bagi membina kemudahan infrastruktur seperti taman permainan kanak-kanak yang boleh memanfaatkan penduduk di sini,” katanya.

Katanya, mereka juga tidak mempunyai kemudahan dewan dan terpaksa menyewa dewan yang disediakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Tetapi kadar sewaan yang dikenakan terlalu tinggi bagi kami yang berpendapatan rendah iaitu RM250 dengan deposit RM250 bagi jangka masa dari jam 7 petang hingga 12 tengah malam.

“Hal ini sudah diajukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha dengan menghantar memorandum kepada beliau pada 24 Jun lalu, namun sehingga kini masih tidak menerima sebarang jawapan,” dakwanya.

Sementara itu, Pengurus Hartanah Peter’s Brickworks Sdn Bhd, pemaju hartanah itu, Lau Hock Meng, ketika dihubungi Berita Harian berkata, berkenaan caj pemotongan air seperti dakwaan penduduk ia sudah ditetapkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sden Bhd (Syabas) yang meminta mereka menjelaskan tunggakan air selama enam tahun dan sudah pun dipersetujui penduduk dan Haniza sendiri.

“Syabas memberi tempoh setahun untuk mereka menjelaskan tunggakan terbabit di mana mereka perlu membayar 10 peratus daripada jumlah tunggakan dikenakan,” katanya.

Berkenaan dewan dan pembinaan tembok pula, Lau berkata, ia adalah di bawah bidang kuasa MBPJ.

Diterbitkan dalam: on November 29, 2008 at 1:41 am  Tinggalkan Komen  

Rumah pangsa tak terurus

Berita Harian 18/11/2008

Penduduk minta Uda Holdings atasi masalah lebih 10 tahun

JOHOR BAHRU: Kira-kira 500 keluarga yang mendiami rumah pangsa Taman Skudai Kanan, Bandar Baru Uda di sini mendakwa mendiami rumah pangsa yang terbiar dalam keadaan tidak terurus, uzur dan tidak selamat sejak lebih 10 tahun lalu.

Pengerusi Badan Bertindak Penduduk rumah pangsa itu, Adzri Md Daud, 46, berkata masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu menimbulkan kejadian tidak diingini seperti plaster dinding runtuh, kebocoran lantai dan bumbung sehingga menjejas keselesaan penduduk.

Beliau berkata, keadaan itu juga menyebabkan pokok liar tumbuh di celah dinding sehingga menyebabkan bingkai tingkap rosak selain masalah dinding berlumut yang mencacatkan pemandangan.

“Kami berharap pemaju, Uda Holdings Bhd dapat mengadakan perundingan dengan penduduk untuk mengatasi masalah yang sudah lama berlaku ini dan tidak hanya semata-mata menghantar surat untuk meminta bayaran penyelenggaran setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian bersama sekumpulan penduduk yang mengadakan perhimpunan secara aman di depan rumah pangsa itu di sini, semalam.

Adzri berkata, sehubungan itu, beliau berharap Uda Holdings dapat membaiki segala kebocoran atap dan lantai, dinding yang runtuh dan retak dan dewan sedia ada untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini pada masa depan.

Sementara itu, Penasihat badan bertindak, Syed Othman Syed Abdullah, berkata pihaknya mendapati ada rumah yang retak sehingga hanya menunggu masa untuk roboh.

Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya akan mengemukakan surat dan memorandum untuk meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Puteri, Adam Sumiru; Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman bertindak untuk mengelak kejadian tragedi seperti runtuhnya Highland Towers berlaku di negeri ini.

“Janganlah kerana penduduk ini membeli rumah murah berharga RM22,000, pihak bertanggungjawab hanya memandang sepi masalah mereka,” katanya.

Timbalan Pengerusi Blok A rumah pangsa berkenaan, Abdul Aziz Bahrom, 41, berkata pihaknya kecewa pihak pengurusan rumah pangsa berkenaan tidak pernah menyelenggara bangunan seperti mengatasi masalah atap bocor, bangunan retak dan membersihkan tangki air yang sepatutnya dilakukan setahun sekali.

“Saya berharap semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dapat datang ke sini segera untuk melihat sendiri masalah yang berlaku di sini yang kini dalam kritikal,” katanya.

Penghuni tingkat empat, Salnah Nasir, 51, berkata bumbung rumah pangsa berkenaan yang bocor sejak sekian lama tidak diganti pemaju menyebabkan beliau terpaksa menggunakan baldi untuk menampung air yang bocor ke dalam rumah.

Beliau berkata, masalah bumbung berkenaan cukup ketara dirasakan penghuni tingkat atas selain ada masanya, bumbung diterbangkan angin sehingga jatuh ke bawah menimpa kenderaan orang lain.

“Saya berasa kecewa kerana saya adalah antara pemilik rumah yang membayar wang penyelenggaraan setiap bulan tetapi kebajikan saya diabaikan,” katanya.

Selain itu, Maimunah Ismail, 50, berkata beliau bernasib baik apabila tidak ditimpa plaster dinding yang tiba-tiba runtuh selepas beliau berjalan melalui tepi bangunan untuk membeli sayur daripada peniaga van yang datang menjual barang basah.

“Jika plaster dinding yang runtuh kira-kira jam 9 pagi, 7 November lalu itu tepat mengenai kepala saya, mungkin saya tidak lagi berada di sini ketika ini,” katanya.

Diterbitkan dalam: on November 20, 2008 at 6:03 pm  Tinggalkan Komen  

Pembeli kecewa pemaju berdolak-dalik

Utusan Malaysia 11/1/2005

KUALA SELANGOR 10 Jan. – Para pembeli projek perumahan baru, Bandar Alam Perdana yang terbengkalai lebih dua tahun lalu kecewa dengan sikap berdolak-dalik pemaju untuk menyiapkan projek tersebut dengan segera.

Melalui perjanjian asal, pembeli sepatutnya sudah boleh berpindah ke taman berkenaan sejak 2002 lagi tetapi kegagalan pemaju menyiapkan sepenuhnya taman tersebut membantutkan hasrat mereka untuk berbuat demikian.

Memburukkan lagi keadaan, sesetengah rumah teres dua tingkat kos sederhana di fasa kedua Bandar Alam Perdana itu didapati retak dan mendap.

Mereka juga menderita kerana terpaksa menanggung bayaran pinjaman projek perumahan itu antara RM900 hingga RM1,100 sebulan sedangkan dalam masa yang sama juga terpaksa membayar sewa rumah sedia ada.

Salah seorang pembeli, Saharom Abdul Aziz, 38, berkata, dia sudah lama bersabar dengan alasan pemaju dan berharap kerajaan negeri turut campur tangan bagi menanganinya.

“Saya membeli rumah ini pada 2001 dan mereka (pemaju) kata ia akan disiapkan pada penghujung 2002 tetapi mereka gagal berbuat demikian.

“Bila ditanya mereka kata akan siap April 2004 tetapi sehingga kini ia masih belum dapat disiapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Saharom juga kesal dengan sikap wakil rakyat di kawasan itu yang masih belum melakukan sebarang tindakan walaupun sudah ditemui berhubung perkara yang sama.

Bagi Normi Hassan, 31, harapannya untuk menduduki rumah sendiri sejak 2002 juga masih belum kesampaian gara-gara kegagalan pemaju menyiapkan projek seperti yang dijadualkan.

“Kami membeli rumah ini apabila ia sudah 70 peratus siap pada 2001 dan pada mulanya yakin 30 peratus akan siap pada 2002 tetapi hingga kini ia masih belum selesai.

“Saya rasa tertipu,” tegasnya sambil menambah alasan pemaju mengenai ketiadaan tenaga pekerja menjadi punca kelewatan projek berkenaan tidak boleh diterima.

Normi bersama suami, ZuIkifli Che Shukri, 31, kini menyewa di Kota Damansara sejak dua tahun lepas.

Seorang lagi pembeli, Mohd. Din Dollah, 34, pula berkata, dia kini mengalami masalah kewangan setiap bulan kerana terpaksa menanggung pinjaman bank dan rumah sewa serentak sejak dua tahun lalu.

“Saya bekerja kerajaan dan membayar dua rumah sekali gus cukup membebankan dan rasa tidak adil,” katanya.

Nor Hasmadi Isa, 40, pula berkata, dia membeli rumah berkenaan sejak 2000 lagi dengan harga RM138, 000 tetapi sehingga kini masih ‘kempunan’ kerana belum merasa duduk di rumah sendiri.

“Pemaju perlu memikirkan nasib kami sebagai pembeli yang benar-benar berharap untuk memiliki rumah sendiri,” jelasnya.

Bagi pemilik rumah rasa kedua di Taman Bandar Alam Perdana, Majdan Yahaya, 38, pula juga mahu pemaju memastikan keretakan dan tanah mendap di rumahnya dapat diatasi.

Diterbitkan dalam: on November 13, 2008 at 10:03 am  Tinggalkan Komen  

Rumah terbengkalai 3 tahun

Rumah terbengkalai 3 tahun
Harian Metro 23/6/2005

PETALING JAYA: Pembeli rumah di Bandar Alam Perdana, Bukit Cherakah, Kuala Selangor kesal kerana syarikat pemaju projek itu masih tidak dapat menyiapkan kediaman mereka walaupun ia dijadualkan siap tiga tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Pembeli Rumah Alam Perdana, Mohd Jais Abdul Rashid, berkata impian pembeli unit kedai dan kediaman di projek berkenaan berkecai apabila rumah idaman tidak dapat diduduki pada tempoh dijadualkan sedangkan mereka terpaksa membayar ansuran bank.

Menurutnya, pada masa sama, pembeli menanggung kerugian apabila terpaksa membayar sewa rumah dan ansuran rumah yang dibeli di situ kepada
pihak bank.

Katanya, pembinaan projek perumahan itu yang dimulakan pada 2000, dihentikan dua tahun kemudian walaupun sudah 80 peratus disiapkan, dipercayai kerana masalah kewangan.

“Ketika membeli rumah itu pada 2000, kami dijanjikan pemaju bahawa projek perumahan itu dijangka siap sepenuhnya pada 2003.

“Bagaimanapun, selepas tiba tarikh dijanjikan, kami gagal menduduki rumah itu berikutan projek berkenaan belum siap dan mereka mendakwa kelewatan itu disebabkan masalah kontraktor yang dilantik dan kewangan,”

katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pihak pemaju di sini, semalam.

Turut hadir, lebih 100 pembeli bagi menyerahkan memorandum menggesa pemaju menyambung semula pembinaan, di samping mendapatkan penjelasan kelewatan projek itu.

Sementara itu, wakil pemaju, Pengerusi Eksekutif Prime Utilities Sdn Bhd, Datuk Nik Ezar Nek Bolia, tidak menafikan projek perumahan itu terbengkalai kerana masalah kontraktor dan kewangan.

“Kami akan mengadakan sesi dialog dengan pembeli dalam tempoh sebulan lagi bagi menjelaskan masalah yang timbul sehingga menjejaskan pembinaan projek itu,” katanya.

Diterbitkan dalam: on November 13, 2008 at 9:27 am  Tinggalkan Komen  

NO ANSWERS FOR ANXIOUS BUYERS


Nama Akhbar
:
THE MALAY MAIL Bahasa : English
Seksyen Akhbar
:
ALL Hari : KHAMIS (THUR)
Tarikh Siaran
:
06/23/2005 Muka Surat : 12
Berkaitan Isu
:
PENGAWASAN DAN PENGUATKUASA
Topik Berita
:
PROJEK TERBENGKALAI
Tajuk Akhbar
:
NO ANSWERS FOR ANXIOUS BUYERS
Keratan Akhbar Penuh


Teks Akhbar
PETALING JAYA: Frustrated housebuyers of Bandar Alam Perdana in Shah Alam
will know the status of their abandoned housing project next month.
Developer Prime Utilities Berhad executive chairman Datuk Nik Ezar Nik
Bolia said the issue will be discussed at the board meeting next week.
“We will also decide our next step during the meeting.
“Housebuyers will be informed of our decision next month,” said Nik
Ezar after a two-hour meeting with a group of house-buyers at his office
in Jalan Semangat yesterday.
The meeting was organised by the Bandar Alam Perdana house-buyers’
pro-tem committee.
The committee wanted to know when their houses would be completed.
The project, scheduled for completion in 2002, was abandoned that year.
During the meeting, the committee also submitted a memorandum asking
the company to explain the status of the project.
Nik Ezar clarified that the project was abandoned due to financial
problems and shortage of workers.
“Since it is 80 per cent complete, we will set a proper platform to
settle the problem,” he said.
Committee chairman Mohd Jais Abd Rashid said they would wait for the
feedback from the company.
He also called on other buyers who wish to register with the committee
to call him at 019 3695725.

0843

Diterbitkan dalam: on November 13, 2008 at 9:24 am  Tinggalkan Komen  

Kerajaan diminta campur tangan

AKHBAR / NEWSPAPER : BERITA HARIAN SEKSYEN / SECTION : BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE : 30-Dec-2004 HARI / DAY : KHAMIS
ISU / ISSUE : PERUMAHAN NEGARA MUKA SURAT / PAGE : 3
TAJUK / TITLE : Kerajaan diminta campur tangan


Teks Keratan
KLANG: Lapan pembeli rumah di Alam Perdana, Bukit Cerakah, Jeram meminta
Kerajaan Selangor campur tangan mengatasi kelewatan pemaju menyiapkan
rumah mereka.
Wakil pembeli, Saharom Abdul Aziz, 38, berkata pemaju menjanjikan rumah
itu siap akhir 2002 tetapi sehingga sekarang projek itu terbengkalai.
“Kami menandatangani perjanjian pembelian dengan pemaju pada 18 Januari
2002.
“Mereka berjanji projek itu siap pada akhir tahun berkenaan. Malangnya,
hingga sekarang kami bukan saja belum mendapat kunci malah rumah itu masih
terbengkalai.
“Kami kecewa dan berasa tertipu kerana pada masa menandatangani
perjanjian itu bangunan rumah projek itu 60 peratus siap. Kami amat yakin
ketika itu rumah dapat disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan,” katanya di
sini, semalam.
Saharom berkata, mereka pernah bertanyakan perkara itu kepada pemaju
tetapi diberi jaminan masalah itu akan diatasi segera.
“Namun kami tidak nampak usaha pemaju untuk menyiapkan rumah itu.
“Walaupun siap berpagar, kerja akhir terhadap rumah masih tidak
dilakukan dan apabila saya menghubungi pemaju mereka berdolak dalik, malah
tiada kata pemutus bila projek itu siap,” katanya sambil menambah pembeli
membayar RM1,000 sebulan untuk rumah berharga RM138,000 itu sejak Mei
2002.
Sementara itu, seorang kerani di pejabat pemaju berkenaan yang hanya
memperkenalkan diri sebagai Zie, berkata, pengurus jualan dan pentadbiran
syarikat yang dikenali sebagai Chew Kok Lian tiada di pejabat dan sentiasa
menghadiri mesyuarat serta bercuti.
Sentral difahamkan itu adalah amalan dan alasan yang sering diberikan
syarikat berkenaan bagi mengelak diburu pembeli.

07c3

Diterbitkan dalam: on November 12, 2008 at 9:44 am  Tinggalkan Komen  

SPNB RANCANG BAIKPULIH PERUMAHAN TERBENGKALAI DI IJOK, SELANGOR

24 MEI 2007
SPNB RANCANG BAIKPULIH PERUMAHAN TERBENGKALAI DI IJOK, SELANGOR
Berita baik bagi pembeli-pembeli Bandar Alam Perdana, Ijok, Kuala Selangor

SELANGOR, 24 Mei – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), telah mula untuk membaikpulih projek Perumahan terbengkalai rumah pangsa kos rendah Bandar Alam Perdana, Ijok, Kuala Selangor. Majlis Penerangan Dan Menandatangani Surat Akujanji bagi projek tersebut akan diadakan di Stadium Malawati, Seksyen 13, Kompleks Sukan Shah Alam pada 26 Mei 2007 pada jam 9.30 pagi yang akan dihadiri oleh Y.B. Dato’ Haji Mohd Mokhtar Bin Haji Ahmad Dahlan, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor.

SPNB telah diarahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengambilalih dan membaikpulih pembangunan 2,500 unit rumah pangsa kos rendah yang telah terbengkalai sejak tahun 2003 apabila pemaju terdahulu gagal untuk menyiapkan pembangunan 25 blok rumah pangsa 5 tingkat ini, di mana proses kesiapan hanyalah 20 hingga 40 peratus sahaja.

Di Selangor, SPNB turut membaikpulih projek perumahan terbengkalai Taman Kantan Permai, Kajang yang dijangka akan disiapkan pada Ogos 2007 dimana ia melibatkan pembinaan sebanyak 792 unit rumah teres. SPNB juga telah menerima Sijil Layak Menduduki untuk dua buah projek perumahan terbengkalai di Negeri Selangor iaitu Bandar Pinggiran Subang, Subang dan Taman Desaria, Petaling Jaya.

bersambung………..

-2-

Sehingga sekarang SPNB telah berjaya membaikpulih 14 projek perumahan terbengkalai yang melibatkan pembinaan 6,650 unit dengan anggaran nilai projek RM211 juta di seluruh negara. Buat masa ini, SPNB sedang membaikpulih 5 buah projek perumahan terbengkalai membabitkan 2,874 unit rumah.

Setakat ini, SPNB telah berjaya membaikpulih dan menyerahkan 11 buah projek perumahan terbengkalai di seluruh negara membabitkan 3,527 unit rumah dengan anggaran nilai projek RM114 juta.

Dalam masa yang sama, atas arahan KPKT, SPNB telah dipertanggungjawabkan bagi memastikan kerja-kerja membaikpulih 54 buah projek perumahan terbengkalai yang melibatkan pembinaan sebanyak 13,245 unit dapat dilaksanakan dengan baik dengan memberikan khidmat nasihat dan pemerhatian tanpa bantuan kewangan.

Untuk maklumat lanjut, para pembeli rumah projek perumahan terbengkalai yang terbabit boleh menghubung SPNB di talian 03-2052 3895 / 03-2057 3334 pada waktu bekerja.

Mengenai SYARIKAT PERUMAHAN NEGARA BERHAD
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah ditubuhkan pada 21 Ogos 1997. SPNB adalah sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) diwujudkan bertujuan menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Dasar Perumahan Negara

Untuk maklumat lanjut sila layari www.spnb.com.my

-tamat-

Disiarkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Komunikasi & Perkhidmatan di talian 03-20573404/ 3437/ 3877/ 019 2363907/013 3074483 atau melalui email di pr@spnb.com.my

Diterbitkan dalam: on November 12, 2008 at 9:35 am  Tinggalkan Komen  
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.